PORT DICKSON 25 Jan. – Dua tekong dan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba menyeludup keluar dari negara ini ditahan di perairan daerah ini dalam operasi malam tadi.
Pengarah Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (Martim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Amran Daud berkata, pihaknya menahan kesemua lelaki terbabit termasuk seorang kanak-kanak lelaki dalam operasi yang dijalankan kira-kira pukul 10.30 malam.
Katanya, mereka yang berumur antara 12 hingga 55 tahun ditangkap dalam operasi pemantauan yang juga dibantu Sistem Pengawasan Maritim Laut (Swasla) dalam mengesan pencerobohan dan penyeludupan di perairan Selat Melaka.
“Penahanan ini dibuat selepas menerima maklumat terdapat pergerakan bot pancung yang mencurigakan dari perairan Pulau Rupat, Indonesia ke perairan Port Dickson.
“Pihak kami telah menghampiri sebuah bot pancung gentian kaca namun bot tersebut memecut laju. Selepas mengejar lebih kurang 30 minit, kami berjaya memintas dan menahan bot tersebut kira-kira 16 kilometer dari barat daya Telok Kemang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Amran berkata, mereka yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Katanya, sepanjang tahun ini, pihaknya telah berjaya membuat tangkapan bagi dua kes di bawah akta berkenaan.
Ujarnya, Maritim Malaysia juga akan melaksanakan Op Khas Pagar Laut sempena musim perayaan tidak lama lagi dan meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.
Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut kepada Pusat Operasi Maritim di talian 06-3876730 dan 999 yang beroperasi 24 jam. – UTUSAN ONLINE











