Sultan Abdullah solat Jumaat bersama rakyat - Utusan Malaysia

Sultan Abdullah solat Jumaat bersama rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH 25 Jan. – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang diumumkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 berkuatkuasa 31 Januari ini berangkat menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Baru Temerloh di sini hari ini.

Baginda yang lengkap berbaju Melayu berwarna biru muda dan bersampin tiba ke masjid berkenaan kira-kira pukul 1.10 petang.

Ini merupakan majlis pertama baginda bersama rakyat setelah diumumkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 oleh Majlis Raja-Raja yang bermesyuarat di Istana Negara semalam.

Kepulangan Sultan Abdullah sememangnya dinantikan rakyat negeri ini yang menerima khabar gembira berganda dalam tempoh dua minggu iaitu pelantikan sebagai Sultan Pahang keenam dan Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Khutbah bertajuk Wujudkan Perpaduan Jauhi Perpecahan dibacakan oleh Kadi daerah, Abdul Aziz Abdul Karim manakala solat Jumaat diimamkan Imam Besar Masjid Baru Temerloh, Badrul Hisham Mohd. Zaki.

Selepas selesai solat Jumaat, turut diadakan solat hajat, tahlil dan doa selamat serta majlis santapan kesyukuran sempena memuliakan baginda di masjid sama.

Berkenan berangkat Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Yang hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan dan Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman.

Selepas mesyuarat khas Majlis Raja-Raja di Istana Negara semalam, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam kenyataannya berkata, Sultan Abdullah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari ini.

Syed Danial berkata, baginda menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 6 Januari lalu selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Disember 2016. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×