KUALA LUMPUR 25 Jan. – Polis Selangor menahan 12 individu termasuk dua warga asing yang bertindak sebagai penjaga dalam serbuan di dua pusat judi online di Taman Kinrara, Serdang dekat sini awal pagi tadi.
Serbuan dilakukan pada pukul 12 tengah malam oleh pasukan pegawai dan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah Serdang.
Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 26 hingga 50 tahun.
“Siasatan awal mendapati satu daripada pusat judi yang diserbu baru beroperasi selama empat hari tetapi mampu menjana wang pertaruhan berjumlah RM89,700.
“Premis beroperasi bermula pukul 2 petang hingga lewat pagi dan hanya membuka pintu kepada pemain yang dikenali sahaja untuk masuk,” katanya ketika ditemui selepas selasai serbuan, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Khaizam, selain tangkapan, pihaknya turut merampas lima laptop, 13 tablet, 3 telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM1,206.
Tambahnya, kesemua rampasan dan tangkapan akan dibawa ke IPD Serdang, dekat sink untuk disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – UTUSAN ONLINE










