SHAH ALAM 25 Jan. – Pihak berkuasa merampas sebanyak 300 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi bernilai RM37,425 di sebuah premis perniagaan yang dijadikan stor haram di Bandar Armada Putra, Pelabuhan Klang, dekat sini, malam semalam.
Bagaimanapun dalam serbuan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna diketuai Timbalan Ketua Penguatkuasa Selangor, Basaruddin Mohiyuddin pada pukul 11.30 malam itu, tiada sebarang tangkapan dibuat.
Ini kerana ketika serbuan, premis itu tidak berpenghuni walaupun terdapat bukti ia menjadi tempat tinggal sekurang-sekurangnya lima individu.

Basaruddin dalam kenyataannya berkata, pihak berkuasa kini giat mengesan pemilik, sendiket dan pembekal yang ada kaitan dengan barang rampasan.
“Kita percaya mereka ini beroperasi secara haram di sekitar Selangor dan jika disabitkan kesalahan denda sehingga RM1 juta dan penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya akan dikenakan ke atas mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE










