PORT DICKSON 24 Jan. – Sebuah restoran di Lukut di sini didapati beroperasi dengan berselindung di sebalik sijil halal milik syarikat pembekal makanan mentah yang tamat tempoh pada 2016.
Perkara itu terbongkar hasil pemeriksaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) hari ini.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, Zubir Hamsa berkata, permis makanan yang diambil alih oleh pengurusan baharu sejak tiga bulan lalu itu dipercayai berbuat demikian dengan tujuan mengelirukan pelanggan.
“Kita dapati sijil halal syarikat pembekal yang dipamerkan bukan miliknya dan kesalahan ini boleh dikenakan tindakan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu.
“Mana-mana premis menyalahgunakan apa-apa petunjuk yang mempamerkan makanan boleh dimakan orang Islam merupakan satu kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011. Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pemeriksaan dalam Operasi Halal, di sini hari ini.
Zubir memberitahu, seramai 12 penguat kuasa KPDNHEP dan enam pegawai JHEAINS telah memeriksa 119 buah restoran di seluruh Negeri Sembilan sejak 12 Januari lalu dan empat daripadanya telah dikenakan kompaun.
Tambahnya, antara kesalahan yang dikesan sepanjang operasi itu adalah menggunakan logo halal syarikat pembekal bahan mentah dan mempamerkan tauliah sembelihan JHEAINS di premis makanan.
Beliau juga mengingatkan para peniaga supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan logo dan sijil halal atau mempamerkan apa-apa perakuan tanpa kebenaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
“Penggunaan sijil atau logo tersebut hanya untuk pemegang sijil dan penggunaannya oleh peniaga lain adalah satu kesalahan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










