KUALA LANGAT – Tindakan mencurigakan sekumpulan lelaki memikul beberapa beg guni di kawasan rumah sarang burung layang-layang di Tanjung Sepat, di sini membongkar aktiviti penyeludupan rokok seludup termasuk cukai bernilai lebih RM65,936, semalam.
Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, sebanyak 360 kartun pelbagai jenis rokok kretek dirampas menerusi Ops Landai oleh Pasukan Polis Marin (PPM).
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Khairuddin Jamal berkata, sebaik menyedari kehadiran kami didapati kumpulan lelaki itu kemudiannya meloloskan diri ke kawasan ladang kelapa sawit berdekatan.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemui bungkusan guni yang mengandungi 360 karton rokok kretek termasuk Semporna Merah dan Hijau serta Gudang Garam Surya tidak bercukai disembunyikan di belakang rumah burung itu.
“Nilai rokok termasuk cukai itu dianggarkan bernilai RM65,936.,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau tidak menolak rumah burung itu dijadikan sebagai stor simpanan rokok seludup disyaki dibawa dari negara jiran sebelum dipasarkan di negara ini.
Jelas Khairuddin, siasatan masih dijalankan dengan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967. -K! ONLINE










