[VIDEO] Warga emas maut dilanggar kereta - Utusan Malaysia

[VIDEO] Warga emas maut dilanggar kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA – Pihak polis sedang mencari saksi bagi satu kejadian kemalangan langgar lari seorang pejalan kaki warga emas yang dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan di Persiaran Tujuan, Subang Jaya, dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi itu, wanita berusia 60 tahun yang bekerja sebagai tukang cuci maut di lokasi akibat mengalami kecederaan pada bahagian kepala serta pergelangan kaki kanan patah.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari berkata, ketika kejadian mangsa bersama seorang lagi rakannya dalam perjalanan ke tempat kerja mereka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 14, di sini.

“Mangsa dan rakannya sedang melintas jalan sebelum mangsa dirempuh sebuah kereta yang kini masih lagi belum dapat dipastikan jenisnya. Sementara rakannya pula berjaya lari menyelamatkan diri dari insiden itu.

“Kesan daripada rempuhan kuat itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Muhammad Azlin memohon orang ramai untuk tampil sekiranya mempunyai maklumat mengenai kenderaan serta pemandu yang terlibat dalam kes tersebut. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×