PUTRAJAYA – Perbuatan mengintai atau menghendap perlu diklasifikasi sebagai perbuatan jenayah kerana ia boleh mengundang perasaan terancam dan tidak selamat kepada mangsa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.
Beliau berkata, kerajaan akan melihat perkara itu dengan lebih serius termasuk mewujudkan satu undang-undang baharu bagi menangani gejala tersebut selepas mendapat maklum balas dari pelbagai pihak berkepentingan termasuk badan bukan kerajaan dan orang awam.
“Perbuatan ini boleh menyebabkan seseorang mangsa itu mengalami gangguan emosi dan mengganggu rutin kehidupan mereka di samping boleh menjejaskan aktiviti harian termasuk pekerjaan dan tanggungjawab kepada keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Liew juga berkata demikian dalam temu bual bersama wakil media dari Thomson Reuters Foundation pada Selasa lepas.
Menurut Liew, beberapa negara luar telah lama melaksanakan Undang-Undang Menghendap seseorang dan tindakan diambil segera apabila laporan dibuat kepada pihak berkuasa, selain mengenakan hukuman terhadap pesalah jika sabit kesalahan. – Bernama










