CAMERON HIGHLANDS – Seramai 31,749 pengundi berdaftar layak mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands Sabtu ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 110 kertas undi pos telah dikeluarkan kepada pengundi yang layak mengundi secara pos sekali gus menjadikan mereka yang layak mengundi pada Sabtu ini adalah seramai 31,639 orang.
“SPR menyeru semua pengundi agar keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada hari tersebut.
“Para pengundi dinasihatkan supaya merancang masa dan keluar di awal pagi serta tidak memilih untuk keluar mengundi pada saat-saat akhir walaupun tempoh waktu mengundi telah ditetapkan dari pukul 8.00 pagi hingga 5.30 petang,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Tambah Azhar, ini kerana bagi mengelakkan halangan lain seperti cuaca buruk memandangkan hujan akan turun pada sebelah petang hari berkenaan.
“Selain itu, terdapat beberapa pusat mengundi yang ditutup lebih awal kerana faktor logistik dan kedudukan geografinya.
“Ia juga bagi memastikan keputusan dapat disampaikan pada masa yang ditetapkan setelah pusat mengundi ditutup,” katanya.
Menurutnya, waktu penutupan awal pusat mengundi juga adalah sama seperti yang dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) namun pada PRK Cameron Highlands ini terdapat penambahan 18 saluran menjadikan 88 saluran kesemuanya berbanding hanya 70 saluran pada PRU-14.
Katanya, penambahan saluran tersebut bagi memastikan kelancaran proses pengundian.
“SPR juga meminta pengundi agar membuat semakan maklumat daftar pemilih mereka lebih awal sebelum hari pengundian.
“Bagi mengetahui maklumat daftar pemilih tersebut, pengundi boleh membuat semakan melalui portal rasmi SPR di www.spr.gov.my, menghubungi talian 03-88927018 dan menyemaknya melalui aplikasi MySPR Semak,” katanya.
Jelasnya, bagi pengundi yang telah mengetahui maklumat daftar pemilih, mereka tidak perlu menyemaknya lagi di barung SPR sebaliknya diminta untuk mencatat dan menyimpan maklumat seperti pusat dan saluran mengundi serta nombor bilangan pemilih.
“Pengundi juga dinasihatkan supaya membawa kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri yang rasmi dan sah pada hari mengundi serta tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain petugas pilihan raya,” katanya. – K! ONLINE










