ADUN dibebas dengan jaminan SPRM - Utusan Malaysia

ADUN dibebas dengan jaminan SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 24 Jan. – Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu 
bergelar Datuk yang ditahan sejak Isnin lalu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya 
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Majistret Abdul Hayyi Salim mengeluarkan perintah itu selepas tempoh reman tiga hari terhadap 
suspek tamat hari ini.

Datuk berkenaan dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM20,000 dengan deposit dan 
seorang penjamin.

Isnin lalu, suspek yang berusia 54 tahun itu ditahan reman tiga hari bagi membantu siasatan 
berhubung kes tuntutan palsu bernilai RM500,000 pada Mei tahun lalu.

Suspek dikatakan mengemukakan tuntutan palsu kepada pejabat daerah dan tanah di sebuah 
daerah bagi perbelanjaan 32 program yang dijalankan di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Bagaimanapun, program itu dipercayai tidak dilaksanakan dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 
Akta SPRM 2009. Suspek ditahan dipercayai susulan penahanan seorang pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daerah dan seorang pegawai daerah di negeri ini pada 9 dan 14 Januari lalu.

Pengerusi NGO daerah dan pegawai daerah yang bertanggungjawab menguruskan wang 
peruntukan bantuan am RM500,000 mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) itu direman 
sebelum mereka dibebaskan dengan jaminan SPRM. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×