KANGAR 24 Jan. – Penurunan harga petrol tidak semestinya akan menyebabkan harga barangan turun serta-merta sebaliknya ia boleh berlaku secara berperingkat-peringkat.
Ketua Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Mohd. Sakhri Mohd. Salleh berkata, kesan penurunan itu ada, namun dalam skala yang kecil dan apabila harga barangan naik selepas harga minyak meningkat, pengguna perlu memainkan peranan bijak pada masa itu.
“Kesan tidak berlaku secara drastik (turun harga barangan). Mungkin (kesan) ada tetapi tidaklah turun harga minyak malam ini, esok harga barangan turun.
“Bagi pihak kita, penguatkuasaan sentiasa dijalankan bagi mengelak peniaga mengambil kesempatan menjual barangan dengan harga terlalu tinggi,” katanya ketika ditemui selepas operasi terhadap restoran India Muslim di sekitar bandar ini, hari ini.
Baru-baru ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya semalam berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan berusaha memastikan kos sara hidup rakyat akan turun sejajar dengan penurunan harga barang selepas penurunan harga petrol sebanyak 27 sen dan diesel sebanyak 14 sen pada awal Januari lalu.
Sementara itu, mengulas mengenai operasi hari ini, beliau berkata, pihaknya bekerjasama dengan pejabat kesihatan daerah dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JHEAIPs) dalam operasi di restoran India Muslim sekitar Kangar.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati mereka mematuhi peraturan seperti penetapan harga barangan yang berpatutan selain pemilik dan para pekerja juga adalah Muslim.
“Setakat pagi ini, kita mengadakan operasi di dua restoran dan akan diteruskan di empat buah lagi pada sebelah petang ini. Setakat ini, tidak ada lagi kes pemilik kedai India Muslim yang didapati bukan beragama Islam,” katanya.- UTUSAN ONLINE










