SUNGAI PETANI 24 Jan. – Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) maut setelah motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya gagal dikawal lalu merempuh sebuah kereta yang sedang membuat pusingan U di Jalan Lencong Barat, Sungai Jagung di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dalam kemalangan kira-kira pukul 7.30 pagi itu, mangsa, Wan Ahmad Zaki Wan Teh, 45, dari Taman Merbau di sini dalam perjalanan dari Taman Nilam ke Sungai Layar.
Katanya, walau bagaimanapun setibanya di lokasi kejadian, motosikal jenis Kawasaki ER6 itu gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang sebuah kereta Proton Persona yang membuat pusingan U.
“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian anggota badan dan mayat mangsa di hantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat.
“Bagaimanapun, pemandu kereta berkenaan, anggota tentera, Nurhidayah Mohamed Ali, 34, dan anaknya, Nur Hazwani Zafirah Mohd. Nasir, 2, dan tinggal di Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini, hari ini.
Adzli menambah, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN ONLINE










