CAMERON HIGHLANDS 24 Jan. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan seramai 31,749 pengundi berdaftar di Parlimen Cameron Highlands yang layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu, Sabtu ini.
Pengerusinya, Azhar Azizan Harun bagaimanapun berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 110 kertas undi pos telah dikeluarkan kepada pengundi yang layak mengundi secara pos sekali gus menjadikan mereka yang layak mengundi biasa pada Sabtu ini adalah seramai 31,639 orang.
Sehubungan itu katanya, SPR menyeru semua pengundi supaya keluar menunaikan
tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada hari tersebut.
“Pengundi dinasihatkan supaya merancang masa dan keluar di awal pagi serta tidak memilih untuk keluar mengundi disaat-saat akhir walaupun tempoh waktu mengundi telah ditetapkan dari pukul 8.00 pagi hingga 5.30 petang.
“Ini berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu serta dijangka hujan di sebelah petang. Selain itu, terdapat beberapa pusat mengundi yang ditutup lebih awal kerana faktor logistik dan kedudukan geografinya seterusnya memastikan keputusan dapat disampaikan pada masa yang ditetapkan setelah pusat mengundi ditutup,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut beliau, waktu penutupan awal pusat mengundi juga adalah sama seperti yang dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) namun pada PRK Cameron Highlands ini terdapat penambahan 18 saluran menjadikan 88 saluran kesemuanya berbanding hanya 70 saluran pada PRU-14.
Katanya, penambahan saluran tersebut bagi memastikan kelancaran proses pengundian.
“SPR juga meminta pengundi agar membuat semakan maklumat daftar pemilih mereka lebih awal sebelum hari pengundian.
“Bagi mengetahui maklumat daftar pemilih tersebut, pengundi boleh membuat semakan melalui portal rasmi SPR di www.spr.gov.my, menghubungi talian 03-88927018 dan menyemaknya melalui aplikasi MySPR Semak,” katanya.
Tambahnya, bagi pengundi yang telah mengetahui maklumat daftar pemilih, mereka tidak perlu menyemaknya lagi di barung SPR sebaliknya diminta untuk mencatat dan menyimpan maklumat seperti pusat dan saluran mengundi serta nombor bilangan pemilih.
“Pengundi juga dinasihatkan supaya membawa kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri yang rasmi dan sah pada hari mengundi serta tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain petugas pilihan raya,” katanya. – UTUSAN ONLINE










