PASIR PUTEH – Hanya kerana bapa tidak mempunyai wang untuk mengisi minyak motosikal menyebabkan dua anak jarang ke sekolah untuk mengikuti pembelajaran sebagaimana kanak-kanak lain.
Nik Muhammad Zulkifli Nik Aziz, 12, dan Nik Muhammad Azri, 9, terpaksa reda dengan keupayaan ibu bapanya yang kini menumpang tinggal di sebuah pondok buruk dalam kebun getah di Kampung Alor Pasir, dekat sini.
Menyedari kehadiran mereka ke sekolah merosot sepanjang tahun lalu dan awal tahun ini, Kelab Kebajikan Staff Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Puteh (Lelaki) menjejaki tempat tinggal keluarga itu selepas derma kilat dilancarkan untuk meringankan bebanan mereka.
Guru Besar sekolah itu, Ahmad Sabri Yusof berkata, kelab berkenaan telah menyampaikan sumbangan makanan dan wang tunai bagi membolehkan dua murid itu hadir ke sekolah.
“Program Cakna dan Prihatin Murid ini sekurang-kurangnya akan meringankan bebanan ibu bapa hasil sumbangan ikhlas guru-guru dan kakitangan sekolah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Ahmad Sabri berkata, berdasarkan rekod sekolah bapa berkenaan adalah golongan miskin tegar dengan pendapatan yang tidak menentu.
Bapa murid itu, Nik Aziz Nik Wail, 45, ketika ditemui, berkata penyakit buasir peringkat kronik menyebabkan dia tidak berupaya melakukan kerja berat untuk mencari sumber pendapatan bagi menyara hidup keluarganya.
“Sebelum ini saya mengambil upah menghantar kuih-muih peniaga ke Pasar Besar Lama Pasir Puteh menggunakan sebuah beca buruk.
“Disebabkan penyakit buasir yang menghalang mengayuh beca itu, saya hilang pendapatan sejak setahun lalu, “katanya.
Menurutnya, ke semua anak dalam tanggungannya seramai tujuh orang termasuk dua masih bersekolah dan seorang lagi anak lelaki berusia tiga tahun.
“Malu nak menceritakan perihal kehidupan kami yang mendapat belas kasihan orang ramai termasuk pemilik kebun getah yang membenarkan kami mendiami pondok ini.
“Ada ketikanya kami terpaksa mengikat perut kerana kehabisan makanan dan tidak memiliki wang untuk membelinya,” katanya.
Pembaca yang ingin membantu boleh menderma menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 03015-41-00020206-7 atas nama Nik Muhammad Shah Azri bin Nik Aziz. – K! ONLINE










