KEPALA BATAS 23 Jan.- Seorang pengurus kilang mengalami kerugian berjumlah RM21,668 selepas ditipu sindiket yang menawarkan pinjaman yang dipercayai tidak wujud daripada iklan di media sosial Facebook, baru-baru ini.
Dalam kejadian 10 Januari lalu, mangsa dikatakan mahu membuat pinjaman sebanyak RM100,000 tetapi diminta membuat bayaran terlebih dahulu untuk mendapatkan proses pinjaman tersebut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner, Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa yang berasal dari Permatang Pauh dikatakan telah menerima mesej WhatsApp daripada individu tidak dikenali sebelum berminat dengan iklan pinjaman tersebut.
“Mangsa telah menghubungi nombor telefon tersebut dan berhubung dengan tiga orang lelaki yang mendakwa adalah ejen syarikat Master Credit Sdn. Bhd yang menawarkan pinjaman peribadi.
“Mangsa kemudian bersetuju membuat pinjaman wang RM100,000 untuk kegunaan bagi memajukan syarikat namun telah diarahkan untuk membuat pelbagai bayaran termasuk bayaran untuk membuka akaun, bayaran insurans sebagai wang proses permohonan pinjaman itu dan lain-lain,” katanya di sini hari ini.
Noorzainy berkata, mangsa kemudiannya telah membuat sepuluh transaksi pindahan wang menerusi perbankan Internet.
“Mangsa kemudiannya telah memindahkan RM21,668 ke dalam enam akaun pelbagai bank, bagaimanapun masih diminta untuk buat tambahan bayaran lagi.
“Mangsa tidak setuju dan berasa tertipu dengan agen tersebut telah meminta wangnya untuk dikembalikan,” katanya.
Tambah beliau, polis masih menjalankan siasatan bagi memperoleh maklumat akaun individu terbabit.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










