KANGAR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menerima dokumen perbicaraan bagi pertuduhan melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Shahidan, 67, yang merupakan Ahli Parlimen Arau hadir ke mahkamah dalam keadaan bertongkat ditemani anak dan menantu lelakinya.
Peguam Shahidan, Zuhair Ahmad Zakuan (gambar kecil) berkata, penyerahan dokumen perbicaraan tersebut dilakukan terus kepada anak guamnya mengikut Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
“Kes ini kemudian ditetapkan untuk pengurusan kes pada 15 Februari depan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, Shahidan masih kurang sihat dan terpaksa bertongkat untuk menghadiri prosiding mahkamah.
“Mahkamah sebelum ini menetapkan 18 Februari depan untuk penyerahan dokumen perbicaraan, namun diawalkan pada hari ini kerana sesuai dengan tarikh semua pihak,” ujarnya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nordin Ismail sementara tertuduh diwakili peguam, Zuhair dan Thalia Rohaina Abdul Latiff.
Kosmo! pada 9 Januari lalu melaporkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak hadir pada prosiding serahan dokumen bagi kes cabul remaja perempuan dihadapinya di Mahkamah Sesyen di sini kerana dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur berikutan masalah kesihatan.
Pada 12 November tahun lalu, Shahidan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual dengan menyentuh tangan hingga ke bahu seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dalam sebuah kereta Toyota Harrier di tepi jalan pekarangan Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar pada pukul 11.30 malam, 20 Oktober lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun serta sebatan.- K! ONLINE










