PONTIAN 23 JAN. – DISEBABKAN hobi suka menyakat serta melihat orang lain tersenyum gembira, seorang pekerja bank sanggup meninggalkan kerja di pejabat dan memilih untuk menjadi seorang badut.
Dengan mengenakan bedak putih, lukisan senyuman di bibir, berhidung merah dan memakai baju Melayu Teluk Belanga, keletah badut yang dikenali sebagai Pak Kadut itu cukup menghiburkan siapa sahaja yang bertemu dengannya.
Menjadikan Dataran Pontian di sini sebagai tempat utama untuk menghiburkan pengunjung, Pak Kadut atau nama sebenarnya, Suwaibatun Nahar Mohd. Juffri, 42, menjadikan suasana hujung minggu di tempat tersebut begitu meriah.
Berpeluang menemui Pak Kadut, bapa kepada tiga anak dan berasal dari Simpang Renggam, Kluang itu membuatkan seseorang itu tidak kering gusi kerana sifatnya yang ceria dan suka berceloteh serta mudah didekati.

Maka, tidak hairanlah, Suwaibatun Nahar memilih kerjaya menjadi seorang badut sebagai punca pendapatannya sekali gus menjadi badut Melayu yang terkenal di daerah Pontian ini sejak sembilan tahun lalu.
“Saya belajar menjadi seorang badut menerusi rakan bernama Swee Tie Yeoh yang kemudian kami bekerjasama untuk memenuhi undangan dan akan muncul sebagai Keluarga Kadut termasuk dua orang anak saya.
“Swee Tie sebagai mak Kadut dan dua anak dikenali sebagai anak Kadut, Qaseh Nur Fateeha, 10, dan Qaseh Nur Assafiyya, 7, mereka masing-masing akan mengenakan kostum yang sesuai setiap kali membuat persembahan.
“Kami bukan sahaja menghiburkan pengunjung di Dataran Pontian tetapi turut menerima banyak undangan pada hujung minggu dan cuti sekolah untuk membuat persembahan dalam pelbagai majlis serta program,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Mengakui pada mulanya agak sukar, namun disebabkan minat mendalam terhadap kerja sebagai seorang badut, Suwaibatun Nahar gigih mencari peluang untuk membuat persembahan dan menyifatkan pendapatan yang diterima cukup.
Dia turut berkongsi pengalaman dan memberitahu, untuk menjadi seorang badut bukan mudah seperti dilihat kerana golongan itu juga perlu menghadiri kelas selain mempunyai pelbagai persatuan baik di peringkat negeri mahu pun antarabangsa.
“Jenaka keluarga kadut ketengahkan bukan kosong, tetapi sarat dengan mesej mengikut penonton serta majlis yang perlu dihadiri, sebagai contoh, kalau majlis di sekolah, saya cuba sampaikan mesej seperti mengajak membuat kebaikan atau sambil berdakwah kepada penonton beragama Islam.
“Membuat persembahan dengan kanak-kanak sebenarnya menyeronokkan, anak-anak ini umpama kain putih, jadi kita cuba memberi mesej yang baik, mereka juga ibarat anak-anak kita sendiri,” katanya yang sudah memenuhi lebih 150 undangan persembahan.
Ditanya bagaimana penerimaan isteri berhubung kerjayanya itu, Suwaibatun Nahar berkata, dia bersyukur kerana isteri memberi sokongan penuh, begitu juga dengan keluarga, malah anak-anak juga tidak pernah mengeluh malu dengan pekerjaannya.
Justeru, dia berharap akan dapat mencari lebih ramai pelapis dalam bidang tersebut selain mempunyai impian untuk menghiburkan orang ramai di luar negara seperti di Singapura atau di Indonesia.
“Saya melakukan sesuatu pekerjaan yang bukan saya menggembirakan hati sendiri tetapi menghiburkan orang lain juga,” katanya.










