Salah guna kenderaan kerajaan: Polis terima laporan pemandu - Utusan Malaysia

Salah guna kenderaan kerajaan: Polis terima laporan pemandu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS 23 Jan. – Polis mengesahkan menerima laporan yang dibuat oleh kakitangan Pejabat Hutan Daerah Raub yang mempertahankan tindakannya menyerahkan kenderaan pacuan empat roda milik jabatan itu kepada Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

KETUA Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Ashari Abu Samah. - UTUSAN ONLINE
Ashari Abu Samah. – UTUSAN ONLINE 

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Ashari Abu Samah berkata, laporan tersebut dibuat oleh kakitangan terbabit pada pukul 4.50 petang, semalam di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.

Katanya, kes tersebut dirujuk kepada laporan awal berkaitan kes itu dan laporan berkenaan juga dirujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan lanjut.

“Saya sahkan pihak polis telah menerima laporan yang dibuat oleh kakitangan berkenaan yang mana dia mempertahankan tindakannya menyerahkan kenderaan milik jabatan kepada Tengku Zulpuri,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu dalam laporan polis yang dibuat lelaki terbabit yang juga pemandu Pejabat Hutan Daerah Raub, dia mendakwa bukan dia lelaki yang memandu kenderaan dalam video yang tular di media sosial itu sebaliknya kenderaan jenis Toyota Hilux itu dipandu oleh pembantu Tengku Zulpuri.

Dalam laporan itu juga lelaki tersebut mendakwa telah memaklumkan kepada Ahli Parlimen Raub itu bahawa kenderaan berkenaan adalah milik Jabatan Hutan negeri namun Tengku Zulpuri telah meminta kunci kenderaan dan menyerahkan kepada pembantunya.

Laporan itu juga menyebut bahawa kenderaan berkenaan telah digunakan untuk mengambil peralatan muzik tradisional di kampung bersebelahan dalam jarak kira-kira satu kilometer.

Lelaki itu dalam laporannya mendakwa, kenderaan tersebut dikembalikan oleh pembantu Timbalan Menteri terbabit sejam kemudian dan memaklumkan kenderaan itu telah ditahan oleh penyokong Barisan Nasional (BN).-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×