DUBAI 22 Jan. – Jurulatih Australia, Graham Arnold, percaya pasukannya memiliki ramuan tersendiri tanpa tonggak utama Tom Rogic menjelang suku akhir Piala Asia menentang tuan rumah, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sabtu ini.
Rogic terpaksa diketepikan akibat penggantungan selepas menerima kad kuning kedua.
Juara bertahan itu sebelum ini terpaksa berhempas-pulas ketika menundukkan Uzbekistan menerusi penentuan penalti 4-2 selepas 120 minit permainan berlangsung tanpa gol di Al Ain.
Dalam perlawanan itu Rogic dilayangkan kad kuning kontroversi pada minit ke-20 selepas didapati mengasari pemain lawan, Jaloliddin Masharipov biarpun ulang tayang yang membuktikan pemain tengah Celtic itu tersandung kaki pemain Uzbekistan tersebut.
“Kad kuning itu agak keras kerana buat Tomi tidak berniat melakukannya.
“Kami mempunyai pilihan lain dan saya boleh mengubah sistem kami jika perlu.
“Kami akan melihat bagaimana pendekatan UAE dan kami akan menganalisisnya untuk menyesuaikan dengan sistem yang berbeza,” kata Arnold.
Sementara itu, UAE menempah pertemuan dengan Australia selepas dipaksa bekerja keras untuk menumpaskan Kyrgyzstan 3-2 dalam satu lagi saingan. – AGENSI










