KUALA LUMPUR 22 Jan. – Berdasarkan aliran semasa, China dijangka kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming.
Beliau berkata, walaupun diselubungi perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, perdagangan Malaysia-China terus berkembang pada kadar lebih tinggi berbanding rakan dagang lain.
Bagi tempoh Januari hingga November 2018, keseluruhan perdagangan Malaysia meningkat 6.2 peratus berbanding tempoh sama 2017, menyumbang 6.9 peratus pertumbuhan kepada eksport dan 5.3 peratus kepada import, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam tempoh itu juga, perdagangan keseluruhan Malaysia-China meningkat 8.5 peratus dengan pertumbuhan 11.3 peratus bagi eksport dan 6.3 peratus dalam import.
Selain itu, beliau berkata, Malaysia juga bersedia menarik lebih banyak pelaburan dan manfaat daripada penggantian import susulan kesan perang perdagangan AS-China.
Menurutnya, terdapat 300 daripada 500 syarikat China utama, disenaraikan di Fortune Magazine, yang belum melabur di Malaysia.
“Syarikat inilah yang kita mahu tarik dengan mengetengahkan kelebihan semula jadi dan strategik sebagai lokasi pelaburan.
“Pelawaan Malaysia bagi pelaburan berkualiti tinggi dari China dan negara lain di dunia perlu diuar-uarkan,” katanya.
Dari Januari hingga September 2018, pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor pembuatan dari China yang diluluskan telah mencecah RM15.62 bilion. – BERNAMA










