PRK Cameron Highlands: SPR ambil serius pelanggaran undang-undang pilihan raya - Utusan Malaysia

PRK Cameron Highlands: SPR ambil serius pelanggaran undang-undang pilihan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memandang serius mengenai laporan berhubung pihak-pihak yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands melakukan pelanggaran undang-undang, peraturan dan etika kempen.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, antara laporan yang diterima pihaknya mengenai kesalahan yang dilakukan seperti penggunaan aset kerajaan dan bermain dengan isu sensitiviti bangsa serta agama dalam kempen yang dilakukan mereka. 

“Mengenai isu penggunaan kenderaan jabatan kerajaan semasa berkempen, SPR telah mengadakan perbincangan segera bersama Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim pada semalam. 

“Perbincangan tersebut diadakan bagi mengemukakan maklumat dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini. 

Tambah Azhar, satu laporan polis juga telah dibuat oleh calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd. Nor berkaitan isu tersebut pada hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan. 

“SPR mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam kempen agar mematuhi semua undang-undang, peraturan dan etika berkempen sepanjang tempoh rasmi berkempen. 

“Antara kesalahan yang mungkin dilakukan termasuk penjamuan, pemberian hadian dan barangan, penganjuran program oleh kerajaan, penggunaan kemudahan dan aset kerajaan untuk meraih undi,” katanya. 

Katanya, tindakan tegas boleh diambil selaras dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 atau undang-undang lain yang berkaitan. 

“Selain itu, kempen yang mempunyai unsur perkauman juga merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 4A akta sama manakala kempen menyentuh sensitiviti agama pula tertakluk di bawah Seksyen 9 akta sama. 

“Semua calon dan parti politik yang bertanding juga diingatkan tidak menimbulkan sebarang kekeliruan kepada pengundi selain calon perlu mematuhi Aku Janji Calon Semasa Tempoh Berkempen dan Hari Mengundi dalam setiap aktiviti kempen masing-masing,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×