[VIDEO] Operasi cari SUV terhumban dalam laut bermula 7 pagi - Utusan Malaysia

[VIDEO] Operasi cari SUV terhumban dalam laut bermula 7 pagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN – Malaysia Region Search and Rescue (MRSC) Langkawi,  Maritim Malaysia (APMM) hari ini mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terhumban ke dalam laut selepas terlibat kemalangan di kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang arah Perai dekat sini semalam.

Koordinator SAR MRSC Langkawi, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd. Said berkata, operasi SAR pada hari kedua berkenaan bermula pukul 7 pagi tadi dengan taklimat di Jeti Pasukan Polis Marin, Batu Uban di sini.

“Sektor pencarian dibahagikan kepada empat sektor berdasarkan aset-aset yang terlibat.

“Kawasan pencarian pula merangkumi dua batu nautika radius dari lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Menurutnya, usaha berkenaan menggunakan aset-aset daripada Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),  Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Antara aset-aset yang terlibat termasuklah Bot Kilat APMM Perak bersama 14 penyelam yang terdiri daripada enam penyelam Pasukan Tindakan Khas APMM.

“TLDM menurunkan sembilan orang dari pasukan penyelam KD Duyong dan Bot CB 001 sambil dibantu oleh Pasukan Simpanan Sukarela TLDM KD Perantau dari Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

“Turut terlibat ialah aset pasukan Polis Marin iaitu Bot RH dan Bot ZABRI 1, manakala JBPM menghantar dua buah bot aluminium,” katanya.

Dalam pada itu, Rozali berkata, pihaknya meminta orang awam yang menyaksikan sebarang mangsa atau objek di sekitar kawasan berkenaan agar menghubungi talian 24 jam, MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi semalam sebuah SUV berwarna putih dilaporkan terjunam ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta jenis Toyota Vios di kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang arah Perai dekat sini.

Seorang pelajar lelaki kolej swasta berusia 20 tahun, Moey Yun Peng, dipercayai pemandu SUV berkenaan selepas bapanya membuat laporan polis berhubung kehilang pelajar itu petang semalam. 

SUV tersebut disyaki jenis Mazda CX5 – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×