Tiga termasuk sepasang suami isteri maut kereta bertembung  - Utusan Malaysia

Tiga termasuk sepasang suami isteri maut kereta bertembung 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN – Tiga termasuk sepasang suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) arah utara dekat Serkam di sini, malam tadi. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, Mohd. Fairuz Haron, 30-an dan isterinya, Eziani Abu Bakar, 34, yang menaiki kereta jenis Proton Saga BLM serta pemandu Perodua Myvi, Lee Boon Yong, 22, meninggal dunia di tempat kejadian.

Tiga lagi mangsa termasuk dua anak pasangan suami isteri berkenaan Muhammad Amirul Asyraf, 3, dan Nurul Fatiha Adelia, 7, serta penumpang bahagian hadapan Perodua Myvi, Siah Shi Yang, 21, bagaimanapun terselamat dan mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan berlaku apabila Perodua Myvi terbabit yang dari arah Melaka ke Muar, Johor telah terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kenderaan dinaiki empat sekeluarga itu.

“Akibat rempuhan itu, tiga daripada enam mangsa maut serta merta di tempat kejadian dipercayai akibat impak dalaman,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, sebentar tadi.

Arshad berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat manakala ahli keluarga yang terselamat turut dirawat di hospital sama. 

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×