Harga sawit terus jatuh, pekebun kecil terhimpit - Utusan Malaysia

Harga sawit terus jatuh, pekebun kecil terhimpit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LABIS 20 Jan. – Rata-rata pekebun kecil di sini mengeluh kerana hasil mereka bukan sahaja tidak dapat menyara keluarga, malah tidak mampu menampung kos selenggara kebun kelapa sawit.

Abdul Jamal Hitam, 69, berkata, sejak kejatuhan te­ruk harga kelapa sawit sekitar RM300 satu tan lebih enam bulan lalu, dia hanya memperolehi sekitar RM600 sebulan hasil tuaian buah di kebun seluas enam hektar selepas ditolak kos penyelengaraan.

“Secara purata saya terpaksa menyediakan kira-kira RM500 sebulan untuk kos racun dan baja tidak termasuk kos upah menuai dan pengangkutan mencecah RM80 bagi setiap tan ketika ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau hasil tuaian banyak mungkin kami boleh hidup, tapi sekarang musim buah melawas di mana hasil tuaian kurang 10 tan bagi kebun seluas lebih enam hektar sejak beberapa bulan lalu,” katanya ketika ditemui kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang lagi pekebun sawit, Kamali Karim, 58, hanya mendapat hasil tuaian sekitar tiga tan daripada kebunnya seluas empat hektar sejak Ogos lalu kerana musim melawas.

Menurut bapa enam anak berusia dua hingga 20 tahun itu, dia terpaksa berikhtiar bercucuk tanam tanaman kontan seperti pisang bagi menampung kos sara hidup yang tinggi ketika ini.

Dia mengakui tidak mampu menanggung perbelanjaan persekolahan lima anaknya jika hanya mengharap hasil kebun kelapa sawit ketika ini dan berharap pihak berwajib mencari jalan menaikkan harga sawit bagi membela nasib pekebun kecil sepertinya.

Samsul Nahar Md. Ramli, 55, turut kecewa dengan perkembangan harga pasaran kelapa sawit ketika ini yang disifatkan­nya terlalu rendah dan mengakui pekebun hanya boleh hidup jika harga melebihi RM400 setan.

“Saya telah membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk membersihkan kebun seluas 3.5 hektar serta kos menanam anak kelapa sawit sejak empat tahun lalu.

“Beberapa bulan lagi kebun saya akan mula berhasil dan dalam keadaan harga terlalu rendah ketika ini saya merasakan usaha saya membangunkan kebun seakan tidak berbaloi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×