Perluas bidang kuasa PBT untuk 'tahan' lembu - Utusan Malaysia

Perluas bidang kuasa PBT untuk ‘tahan’ lembu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 20 Jan. – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mempertimbangkan kaedah baharu termasuk memperluaskan bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menangani masalah ‘lembu rayau’ atau haiwan ternakan yang berkeliaran di tempat awam. 

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau menerima laporan masalah lembu rayau dikatakan amat serius di Kelantan terutama di kawasan Pasir Puteh dan Rantau Panjang sehingga menyusahkan orang ramai dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Pada masa ini kata beliau, setiap PBT sudah mempunyai undang-undang kecil masing-masing berkaitan kesalahan membiarkan haiwan ternakan berkeliaran namun dari segi penguatkuasaan, bidang kuasa mereka adalah terhad.

“Prosedur ketika ini setiap kali mahu menahan lembu-lembu terbabit, operasi itu perlu dikendalikan pegawai veterinar kerana ia adalah di luar bidang kuasa para penguat kuasa tempatan. Penguatkuasaan jadi lambat kerana Jabatan Veterinar sendiri tidak cukup pegawai.

“Isu ini unik tapi serius. Setakat ini kita terima permohonan dari Kelantan sahaja, negeri lain. belum ada. Kita akan cuba selaraskan mekanisme seperti memberi kuasa kepada PBT bagi melaksanakan sendiri penahanan lembu untuk dikurung di suatu tempat. 

“Konsepnya sama macam kes kesalahan kereta iaitu pihak PBT sendiri boleh saman, tarik kereta dan simpan di suatu tempat bagi tempoh tertentu sementara menunggu pemilik datang tuntut kenderaan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman rasmi Menteri Besar di JKR10, di sini hari ini.

Terdahulu, Zuraida membuat kunjungan hormat terhadap Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob sebelum mengadakan mesyuarat khas bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin serta kesemua wakil PBT di negeri ini.

Dalam perkembangan lain. Zuraida memberitahu, pihak kementerian merancang memperluaskan penggunaan lampu jalan jenis diod pemancar cahaya (LED) ke seluruh negara yang dilihat menjimatkan dari segi kos penyelenggaraan selain lebih terang.

“Kita sudah fikirkan model perniagaan yang tak memerlukan kerajaan mengeluarkan modal kewangan bagi melaksanakan perkara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×