KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengakui puas biarpun tersingkir daripada kejohanan Malaysia Masters selepas tewas 12-21, 20-22 kepada jaguh Denmark, Viktor Axelsen pada peringkat suku akhir hari ini.
Axelsen yang merupakan idola pemain muda negara itu tidak berdepan masalah melangkah ke peringkat separuh akhir biarpun mengalami sedikit kecederaan pada pertengahan set kedua.
Kata Zii Jia, prestasinya pada perlawanan tersebut kurang baik jika dibandingkan dengan aksi yang ditampilkan ketika mara ke peringkat suku akhir.
“Saya fikir gagal tanpilkan permainan yang dimahukan pada hari ini. Bagaimanapun, saya puas apabila dapat bermain menentang Axelsen yang merupakan idola saya.
“Selepas ini saya akan berikan fokus pada kejohanan Indonesia Masters yang akan berlangsung selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan. – K! ONLINE










