PONTIAN 17 Jan. – Kesusahan mangsa kebakaran rumah kayu bersebelahan perhentian bas lama di sini yang terbakar Isnin lalu mendapat simpati dan perhatian Perdana Menteri.
Roslee Abdullah, 45, dan Zainal Abd. Rahman, 45, yang berasal dari Permas, Kukup yang menjadikan rumah kayu itu sebagai tempat bermalam sebelum turun ke laut terharu dengan keprihatinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Setiausaha Politik Kepada Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya dan Ahli Parlimen Tanjung Piai selaku Timbalan Menteri di Jabatan Perdana, Datuk Wira Dr. Md. Farid Md. Rafik memberikan
sumbangan barangan keperluan harian dan wang tunai.
Kedua-duanya melawat mangsa kebakaran tersebut pada lewat petang semalam atas permintaan Dr. Mahatir yang menerima maklumat kejadian berkenaan daripada kepimpinan Serikandi Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor.
Turut hadir, Pegawai Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Pontian, Nor Marlinda Abu Bakar dan Ketua Bahagian Bersatu Pontian, Zulkifly Tasrif.
Dalam kejadian pukul 8.15 malam itu, rumah kayu tersebut hangus terbakar namun tiada sebarang kemalangan jiwa kerana ketika kejadian tiada penghuni di dalamnya.
Sementara itu, Md. Farid berkata, pihaknya akan melihat perkara itu dan jika perlu bantuan susulan akan diberikan setelah perbincangan dilakukan dengan jabatan dan agensi berkenaan.
Walaupun hanya sebagai rumah persinggahan nelayan, beliau berharap rakyat yang ditimpa musibah dapat diringankan beban mereka atas keprihatinan Perdana Menteri.
“Sebagai kawasan yang berjiran dengan Parlimen Tanjung Piai, kehadiran saya bersama-sama Setiausaha Politik Kepada Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya diharap dapat memenuhi harapan
rakyat kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya. -UTUSAN ONLINE










