KUALA LUMPUR 17 Jan.- Dua pasangan beregu campuran negara akan membuat perhitungan di pentas suku akhir bagi mencari slot empat pasangan terbaik kejohanan badminton Siri Jelajah Dunia 500 Malaysia Masters, esok.
Aksi di Axiata Arena, di sini hari ini menyaksikan gandingan Goh Soon Huat-Shevon Lai terlebih dahulu melepasi aksi pusingan kedua dengan menundukkan Takuro Hoki-Wakana Nagahara dengan keputusan 21-13, 21-19.
Mereka akan bertemu pasangan bebas, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang menewaskan Lu Kai-Chen Lu 17-21, 21-17, 21-15.
Peng Soon memberitahu, pertemuan esok sangat menarik kerana Malaysia sudah pasti akan ada satu wakil di dalam saingan separuh akhir, hujung minggu ini.
“Bagi saya perlawanan esok adalah sesuatu yang normal tetapi paling penting Malaysia sudah ada wakil di separuh akhir.
“Memang kami pernah bertemu sebelum ini di Terbuka Indonesia, tahun lepas, mereka tahu cara kami main, kami juga tahu cara mereka, jadi esok kami akan berikan persembahan terbaik untuk semua peminat,” katanya.-UTUSAN ONLINE










