Jin Wei tak mahu jadi mangsa lagi - Utusan Malaysia

Jin Wei tak mahu jadi mangsa lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Bintang remaja negara, Goh Jin Wei menjadi satu-satunya wakil tunggal perseorangan wanita Malaysia pada kejohanan badminton Malaysia Masters apabila mara ke pusingan kedua selepas menyingkirkan pilihan ketiga kejohanan dari Jepun, Akane Yamaguchi di Axiata Arena, Bukit Jalil tadi.

Jin Wei yang juga juara dunia remaja berjaya melakar kejutan terbesar setakat ini apabila menewaskan Yamaguchi yang berada pada kedudukan kelima ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menerusi kemenangan 21-14, 21-12.

Selepas berjaya melakar kemenangan sulung ke atas pemain yang berada dalam kelompok lima terbaik dunia, pemain berusia 19 tahun itu bertekad untuk tidak lagi menjadi ‘belasahan’ pemain-pemain ternama lain.

“Saya akui perlawanan hari ini sangat sukar dan saya langsung tidak jangka boleh catat kemenangan ke atas Akane. Saya hanya turun dan keluarkan segala-gala yang saya ada.

“Harus diakui, ini merupakan aksi terbaik saya menentang kelompok lima terbaik dunia. Saya harap selepas ini saya tidak akan menjadi mangsa mana-mana pemain lagi,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Dalam pada itu, pemain kelahiran Pulau Pinang berkenaan mengakui pengalaman yang diperoleh ketika memenangi pingat emas Sukan Olimpik Remaja serta muncul juara dunia remaja buat kali kedua tahun lalu banyak mematangkan dirinya.

“Kejayaan yang diperoleh pada Sukan Olimpik Remaja serta Kejohanan Remaja Dunia membuatkan saya lebih matang kerana seluruh rakyat Malaysia meletakkan harapan tinggi kepada saya.

“Justeru, saya harap mampu bersaing dengan pemain-pemain ternama dunia kerana masih banyak peluang untuk saya membuktikan kemampuan. Saya akui kini lebih kuat dari segi pemikiran dan mental,” ujarnya lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×