Empat lelaki diburu samun kedai alat ganti kereta - Utusan Malaysia

Empat lelaki diburu samun kedai alat ganti kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Jan. – Polis sedang memburu empat lelaki selepas disyaki terlibat dalam kes samun di sebuah kedai alat ganti kereta di Kampung Baru Cina, Rawang, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi itu, kesemua suspek yang menaiki van berwarna putih dikatakan telah masuk secara melulu ke kawasan premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, dua daripada empat suspek yang memegang parang panjang dikatakan terus mengacukan senjata tersebut di leher pengawal keselamatan yang berada di situ.

Ujarnya, mangsa kemudiaannya telah diikat tangan dan kakinya manakala mata dan mulutnya ditutup menggunakan cebisan kain daripada baju mangsa.

“Kesemua suspek menyelongkar seluruh premis sebelum membawa lari sebuah kereta Mitsubishi Triton milik pelanggan. Selain itu, telefon bimbit mangsa turut dilarikan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Samsor lagi, pengawal keselamatan tersebut bagaimanapun berjaya melepaskan diri kira-kira pukul 7 pagi sebelum mangsa memaklumkan kejadian kepada majikannya.

“Pemeriksaan lanjut oleh majikannya mendapati wang tunai milik syarikat bernilai RM10,000 turut hilang dan anggaran kerugian bernilai RM23,000.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×