KUALA LUMPUR 16 Jan. – Dua lot tanah milik kerajaan di Medan Imbi, Bukit Bintang di sini diceroboh oleh sebuah syarikat yang mendakwa diberi kelulusan oleh individu tertentu dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui perjanjian pada 2015. Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, perkara itu dipercayai melibatkan penyelewangan dan salah guna kuasa oleh pihak atasan dalam DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan semasa pemerintahan kerajaan terdahulu. Katanya, kedua-dua lot tanah bernombor 568 dan 716 itu pada asalnya merupakan kawasan lapang yang menjadi tapak berniaga sebelum diceroboh untuk pembinaan sebuah bangunan pejabat dan gerai buah-buahan. “Bagaimana kebenaran merancang boleh dikeluarkan dalam keadaan tanah berkenaan bukan milik syarikat atau DBKL. “Bagaimana pula syarikat boleh menduduki tanah yang bukan milik mereka dan boleh mengutip hasil dari tanah yang bukan milik mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. Menurut Khalid, arahan mengosongkan tapak itu telah dikeluarkan pada 3 Januari 2019 oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berakhir pada 10 Januari lalu. “Mesyuarat hari ini memutuskan untuk menunggu maklum balas dari pihak yang membina bangunan itu untuk mencadangkan satu jalan penyelesaian. “Jika tiada apa-apa makum balas, kami akan anggap mereka tidak berminat untuk menjaga dan mempertahankan bangunan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. Khalid berkata, pihaknya akan membuat laporan kepada SPRM dalam minggu ini bagi meminta semua yang terlibat disiasat. – UTUSAN ONLINE









