KUALA LUMPUR 16 Jan. – Majlis Amanah Rakyat (Mara) menafikan dakwaan kononnya sebanyak 10 pejabat agensi itu akan ditutup di seluruh negara, sepertimana tular di aplikasi WhatsApp semalam.
Pejabat Mara dalam kenyataan hari ini menjelaskan, isu yang digembar-gemburkan itu adalah tidak benar malah semua pejabat Mara daerah yang didakwa itu masih beroperasi seperti sedia kala.
“Sememangnya, Mara dalam proses mengkaji pelan rasionalisasi untuk menambah baik dan mengoptimakan sumber yang ada bagi mengukuhkan lagi penyampaian perkhidmatan serta mengambil kira perkembangan penyampaian perkhidmatan dalam talian.
“Walau bagaimanapun, penutupan pejabat Mara daerah seperti didakwa hanyalah sebahagian daripada kajian dilaksanakan dengan melihat beban tugas serta jumlah transaksi perkhidmatan di lokaliti terbabit,” jelas agensi itu.
Semalam, bekas Timbalan Pengerusi GiatMara, Datuk Armand Azha Abu Hanifah mendesak Kementerian Pembangunan Luar Bandar memberikan penjelasan segera berhubung isu yang tular itu.
Desakan itu disuarakan susulan tangkap layar yang diterima daripada kiriman WhatsApp yang dipercayai disebarkan oleh ‘orang dalam’ Mara sendiri.
Tangkap layar WhatsApp itu memaklumkan bahawa Pengurusan Tertinggi Mara telah menyenaraikan 10 pejabat Mara daerah yang akan ditutup termasuk di Cameron Highlands, Pahang berkuatkuasa pada Jun nanti atas alasan penjimatan kos operasi.
Kiriman itu turut memberitahu kononnya keputusan itu dibuat tanpa pengetahuan menteri bertanggungjawab. – UTUSAN ONLINE










