50 lagi suspek dikehendaki - Utusan Malaysia

50 lagi suspek dikehendaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 16 Jan. – Polis Terengganu memburu 140 suspek dikehendaki termasuk 50 individu baharu yang disyaki terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, 50 individu baharu itu merupakan warga tempatan berusia antara 17 hingga 59 tahun.

“Seramai 35 suspek dikehendaki bagi kes mendatangkan kecederaan termasuk jenayah keganasan rumah tangga manakala 15 lagi membabitkan jenayah curi harta benda dan motosikal yang menjadi penyumbang utama kadar jenayah di negeri ini.

“Sepanjang 2018 kita telah menyiarkan sebanyak 235 wajah suspek dikehendaki dengan berjaya menangkap 145 orang dan baki 90 lagi masih dikesan di samping tambahan 50 suspek baharu sekali gus menjadikan keseluruhan individu dikehendaki adalah seramai 140 orang,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Menurut Fazlisyam, polis akan meneruskan hebahan gambar mereka yang dikehendaki itu serta dimuat naik menerusi laman Facebook Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta segera berhubung dengan polis.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 3,020 kertas siasatan dibuka pada tahun lalu berbanding 3,688 tahun sebelumnya.

Fazlisyam memberitahu, antara faktor penurunan itu adalah susulan kejayaan polis menumpaskan tujuh kumpulan penjenayah yang menjadi dalang dalam banyak kes pecah rumah, curi harta benda dan motosikal di negeri ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×