PUTRAJAYA 16 Jan. – Sumbangan peruntukan Kementerian Kewangan terhadap institusi-institusi pendidikan tidak seharusnya dijadikan isu melainkan ia ditimbulkan dengan niat jahat untuk mengapi-apikan sentimen perkauman dan ekstremisme.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil pendekatan inklusif dalam mempertimbangkan sumbangan kepada institusi pendidikan yang bukan bermotifkan keuntungan.
Beliau berkata, dasar berterangkuman jelas dicerminkan dalam ucapan Bajet 2019 dengan langkah kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM652 juta untuk menaik taraf serta menyelenggara semua kategori sekolah berbanding dengan RM615 juta dalam Bajet 2018.
Katanya, peruntukan Bajet 2019 tersebut termasuk RM12 juta yang disampaikan kepada sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) pada Jumaat lalu dan RM25 juta untuk sekolah pondok yang tidak disediakan di dalam Bajet 2018.
“Adalah amat mengecewakan pihak-pihak tersebut masih memainkan isu perkauman dalam konteks pendidikan semata-mata untuk memenangi pilihan raya kecil.
“Perbuatan ini tidak sihat kerana ia akan menafikan peluang menyediakan pendidikan yang inklusif dan juga membantut usaha mencapai kecemerlangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan segelintir pihak sebelum ini yang mempertikai tindakan kerajaan memberi sumbangan peruntukan kepada sekolah-sekolah seperti SMPC serta Kolej Universiti New Era.
Guan Eng berkata, kementerian sebelum ini juga telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM15 juta kepada Universiti Islam Malaysia (UIM) yang berstatus universiti swasta dan tidak bermotifkan keuntungan.
Beliau berkata, Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terdahulu pernah memberi peruntukan kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KUTAR) iaitu sebuah kolej swasta yang dimiliki MCA, di antara RM30 juta hingga RM69.25 juta dalam Bajet 2012 hingga 2018.
“Adakah saya akan dilabel anti-Cina dan pro-Islam kerana meluluskan peruntukan RM15 juta kepada UIM atau dilabel sebagai pro-Cina atau anti-Melayu kerana luluskan peruntukan kepada kolej swasta New Era dan kolej swasta lain?” soalnya. – UTUSAN ONLINE










