BATU PAHAT 16 Jan. – Seorang wanita terkejut apabila menemukan seekor ular sawa besar dalam kandang kucing di belakang rumahnya di Kampung Merdeka di sini pukul 9.30 pagi tadi.
Firus Said, 42, menyedari kehadiran ular tersebut apabila melihatnya masuk ke kandang kucing sebelum menghubungi bapanya untuk mendapatkan bantuan.
“Melihat ular tersebut yang besar dan panjang saya tidak berani bertindak apa-apa, bapa saya kemudian menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.
“Selepas itu kira-kira lima anggota bomba datang dan berjaya menangkap reptilia tersebut yang berada dalam keadaan kekenyangan,” katanya ketika ditemui di sini sebentar tadi.
Ular dengan kulit berwarna coklat dan corak batik itu dianggarkan panjangnya lebih lima meter dengan berat 150 kilogram.
Firus berkata, kejadian tersebut adalah kali kedua dan pertama kali berlaku pada Disember lalu yang sempat membaham empat ekor kucing dalam kandang berkenaan.
Dia percaya ular berkenaan dipercayai datang dari kawasan belukar di depan rumahnya dan keluarganya bimbang kejadian sama berulang termasuk mencederakan keluarganya.
Kawasan belukar di depan rumah milik seorang individu dan pihaknya sudah beberapa kali menghantar surat kepada Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) supaya membersihkannya.
“Namun tiada tindakan dilakukan MPBP dengan alasan tidak tahu siap tuan punya tanah, kemudian saya berikan nombor telefon bimbit tuan tanah juga tiada tindakan sehingga kini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










