Jangan usik Perlis - Utusan Malaysia

Jangan usik Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan menasihatkan pemain supaya tidak terpengaruh dengan hasutan pihak ketiga berkenaan tunggakan gaji yang boleh mencemarkan nama pasukan meskipun persetujuan bersama telah dicapai.

Perkara tersebut disuarakan ekoran terdapat laporan yang kini tular di media sosial isu tunggakan gaji 11 pemain Piala FAM Perlis 2018 meskipun PFA telah memaklumkan berkenaan masalah kelewatan pembayaran.

Abdul Karim Khan memberitahu, PFA tidak pernah lepas tangan mengenai isu tunggakan gaji seterusnya bertindak profesional dalam apa jua isu yang timbul dalam persatuan.

“Kami amat kecewa dengan apa yang berlaku dan akan mengambil tindakan yang tegas mengikut undang-undang kerana perkara ini boleh mencemarkan nama baik PFA selepas proses transformasi kepimpinan.

“PFA menasihatkan semua pemain untuk tidak mudah terpengaruh dengan pihak ketiga yang boleh merosakkan apa yang telah dipersetujui sebelum ini dan meminta peminat tidak melatah kerana terdapat isu dalaman yang tidak disentuh serta seolah-olah menunjukkan kesilapan PFA sahaja,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Pada masa sama, Abdul Karim Khan menjelaskan pihaknya telah memanggil wakil pemain Piala FAM 2018, Piala Presiden 2018 dan Piala Belia 2018 dalam satu perjumpaan khas, namun wakil daripada pemain Piala FAM gagal hadir dalam pertemuan tersebut.

“Dalam perjumpaan pada Isnin (7 Januari) kami ingin memberikan penerangan mengenai masalah kelewatan pembayaran gaji dan tunggakan pemain yang sepatutnya dijadualkan pada 7 hari bulan seperti yang terkandung di dalam kontrak, namun wakil pemain FAM tidak muncul.

“Bagaimanapun, pada 8 Januari 2019 (Selasa), persatuan memberi penjelasan kepada salah seorang pemain Piala FAM 2018 dan PFA telah dimaklumkan bahawa maklumat yang diberikan telah dikongsi kepada pemain yang lain.

“Pertemuan ini juga dilakukan untuk menyelesaikan beberapa isu yang berkaitan dengan salah laku disiplin yang telah dilakukan oleh pemain seperti yang terkandung di dalam kontrak, tetapi tiada wakil pemain Piala FAM 2018 yang hadir,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×