Tarif air: Naik tapi tak susahkan rakyat - Utusan Malaysia

Tarif air: Naik tapi tak susahkan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 16 Jan. – Setelah mengambil kira tarif air di negeri ini tidak pernah disemak sejak 22 tahun lalu, kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan untuk menaikkan kadar tarif itu tahun ini.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika mengesahkan perkara itu bagaimanapun memberi jaminan kadar baharu itu nanti tidak akan membebankan rakyat Terengganu.

Menurutnya, kenaikan kadar baharu itu perlu dibuat berdasarkan kaedah pengiraan tertentu setelah mengambil kira kadar tarif di negeri ini tidak pernah disemak sejak 22 tahun lalu.

Beliau menjelaskan, Terengganu merupakan antara tiga negeri yang kadar tarif air tidak pernah disemak sejak lebih 20 tahun lalu sedangkan ada sesetengah negeri sentiasa berbuat demikian pada setiap tahun.

“Saya percaya akan berlaku sedikit kenaikan tapi kita akan kaji seluruh segmen masyarakat tentang penggunaan air ini dan tentulah ada kategori lain seperti sektor industri dan sebagainya yang perlukan pertimbangan untuk kenaikan.

“Saya rasa kita akan capai keputusan kerajaan negeri sendiri setelah kita lakukan semakan secara lebih terperinci dan kita harap sebelum (akhir) Januari ini kita akan buat keputusan dan nyatakan kepada kementerian yang berkenaan,” katanya.

Menteri Besar menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Serah Tugas Pegawai Kanan Negeri dan Angkat Sumpah Pihak Berkuasa Tempatan Negeri di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×