Parti komponen BN perlu beri sokongan padu kepada Ramli - Utusan Malaysia

Parti komponen BN perlu beri sokongan padu kepada Ramli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS – Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu memberi sokongan padu kepada calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor.

Kekurangan pengalaman bekas pesara polis itu dalam politik tidak perlu dijadikan isu sebaliknya semua pihak harus turun padang membantunya.

Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kekurangan pengalaman bukan bererti seseorang itu tidak mampu membuat kerja untuk menjadi wakil rakyat.

“Kita tengok Pakatan Harapan (PH) menggunakan ramai orang baharu sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu malah ada yang dilantik sebagai menteri.

“Jadi kita tidak perlu risau dengan kemampuan calon pilihan BN itu kerana kita yakin dia akan buat yang terbaik untuk menang dalam PRK nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Felda Sungai Koyan 1, dekat sini hari ini.

Menurutnya, kerjasama daripada semua parti komponen amat penting untuk membantu calon BN sepanjang tempoh berkempen dan bukannya mempersoal kemampuannya.

“Apa yang penting adalah kita semua turun padang membantu calon jika ingin mengekalkan kemenangan di Parlimen Cameron Highlands,” ujarnya.

Beliau memberitahu, kemenangan calon BN sangat penting dan ia akan menjadi kayu pengukur kepada kebangkitan BN dalam arena politik tanah air.

Dalam perkembangan lain, beliau melahirkan rasa terkilan dengan tindakan kerajaan Pusat mengabaikan veteran ATM dalam pembentangan Belanjawan 2019 pada November lalu.

“Veteran ATM menikmati pelbagai kemudahan dan bantuan pada zaman kerajaan BN namun kini ia semakin berkurangan.

“Kerajaan sepatutnya merancang lebih banyak kemudahan dan bantuan bagi menghargai jasa veteran ATM yang telah banyak menabur bakti untuk negara,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×