KUALA LUMPUR 16 Jan. – Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran digesa untuk bertindak lebih tegas dengan mengenakan tekanan ke atas Kementerian Dalam Negeri (KDN) berikutan gagal mengesan lokasi anak perempuan dan bekas suami kepada guru tadika, M. Indira Gandhi sehingga hari ini.
Pengerusi Badan Perhubungan MIC Wilayah Persekutuan, Datuk S. Rajah turut meminta Ahli Parlimen Ipoh Barat itu meletakkan jawatannya sebagai Menteri Sumber Manusia sekiranya pihak polis masih gagal mengesan Prasana Diksa dan ayahnya, Muhammad Riduan Abdullah.
“Saya tahu Kulasegaran tidak memegang portfolio Menteri Dalam Negeri namun ia tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk melepas tangan begitu sahaja. Beliau masih boleh membantu memberi tekanan kepada menteri terbabit untuk mengesan anak perempuan Indira Gandhi.
“Kulasegaran sepatutnya menggunakan peluang dengan membawa isu Indira Gandhi ke mesyuarat Kabinet bagi mendapatkan keadilan kepada wanita itu yang telah berjuang sejak 2010,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Isnin lalu, portal The Malay Mail memetik Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebagai berkata, pihak polis masih gagal mengesan lokasi dua individu tersebut. – UTUSAN ONLINE










