JAKARTA 16 Jan. – Seorang nelayan dari Majene, Sulawesi Barat yang dijadikan tebusan oleh kumpulan bersenjata dipercayai pimpinan Abu Sayyaf, telah dibebaskan.
Lapor Detik News, pembebasan nelayan berkenaan, Samsul Saguni mencetuskan polemik, sama ada dia dibebaskan kerana wang tebusan sudah dibayar atau tidak.
“Samsul berada di Pangkalan Tentera Westmincom di Jolo, Selatan Filipina untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan menunggu diterbangkan ke Zamboanga City.
Samsul dibebaskan semalam dan diterima oleh pihak berkuasa Filipina kira-kira pukul 4.30 petang.
“Selepas diserahkan secara rasmi ke Kedutaan Indonesia di Manila, Samsul akan dihantar pulang ke Indonesia,” kata Pengarah Perlindungan Rakyat Indonesia di Kementerian Hal Ehwal Luar Negara, Lalu Muhammad Iqbal dalam satu kenyataan menerusi sistem pesanan ringkas.










