KUALA LUMPUR – Kadar indeks jenayah di seluruh negara menunjukkan penurunan 11.9 peratus bersamaan 11,949 kes berbanding tempoh sama pada tahun 2017.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, bermula 1 Januari hingga 31 Disember tahun lalu, sebanyak 88,662 kes telah dilaporkan berbanding nilai ambang yang ditetapkan iaitu sebanyak 100,611 kes.
“Ini menunjukkan penurunan sebanyak 11.9 peratus bersamaan 11,949 kes dan lebih membanggakan semua negeri di negara ini turut mencatatkan penurunan kes mengikut nilai ambang yang telah ditetapkan pada tahun lalu.
“Saya juga yakin, peningkatan jumlah keahlian Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang mencecah kira-kira 1.2 juta orang sehingga 3 Disember lalu merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada penurunan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Semua Jabatan Peringkat Bukit Aman di sini hari ini.
Mengulas lanjut, sebanyak 60,552 aduan telah diterima, di mana 59,945 aduan telah diambil tindakan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 49,187 aduan adalah di bawah tindakan serta merta.
“Sementara 10,874 aduan telah diletakkan di bawah tindakan serta merta manakala baki 491 aduan masih dalam tindakan.
“Saya berharap jumlah keahlian VSP dapat dipertingkatkan dalam menyokong usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadikan negara ini bebas dari jenayah,” jelasnya. – K! ONLINE










