Suspek tebusan disyaki PATI - Utusan Malaysia

Suspek tebusan disyaki PATI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Lelaki yang ditembak mati selepas lima jam mengurung dan mencederakan seorang kanak-kanak berusia dua tahun dalam kejadian di tingkat empat sebuah pangsapuri di Telipok Ria, Sabah, Ahad lalu disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, bagaimanapun, pihaknya masih belum dapat mengenal pasti identiti sebenar suspek.

“Saya difahamkan suspek adalah seorang PATI namun identitinya masih belum dapat dipastikan kerana tiada waris atau saudara terdekat tampil bagi proses pengecaman yang dapat membantu siasatan.

“Kita juga masih menjalankan siasatan terhadap motif suspek menjadikan kanak-kanak tersebut sebagai tebusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Semua Jabatan peringkat Bukit Aman di sini hari ini.

Kosmo! pada Isnin lalu melaporkan, seorang lelaki ditembak mati selepas mencederakan seorang kanak-kanak berusia dua tahun dan menjadikan tebusan dalam kejadian di tingkat empat sebuah pangsapuri di Telipok Ria, Sabah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, suspek ber­usia 30-an meninggal dunia di lokasi kerana kecederaan parah pada badan selepas polis melepaskan beberapa das tembakan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, siasatan awal mendapati lelaki yang bersenjatakan pisau itu melarikan mangsa lalu mengurungnya di sebuah rumah sebelum disedari penduduk lain.

Menurutnya, kemungkinan suspek mengalami masalah mental berikutan dia tidak membuat sebarang ugutan mahupun tuntutan ketika diminta melepaskan kanak-kanak tersebut dan menyerah diri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×