Mohamad belum terima sebarang permohonan sertai semula UMNO - Utusan Malaysia

Mohamad belum terima sebarang permohonan sertai semula UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 16 Jan. – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang keluar UMNO bulan lalu, ingin kembali menyertai parti itu.

“Setakat ini, saya secara peribadi belum dan tidak ada menerima apa-apa permohonan pun daripada mana-mana ahli Parlimen UMNO yang telah keluar parti untuk menyertai semula UMNO.

“UMNO sentiasa membuka pintu kepada sesiapa saja yang ingin menyertai dan menjadi ahli UMNO. Syarat dan proses untuk menjadi ahli adalah tertakluk kepada apa yang diperuntukkan perlembagaan dan peraturan pentadbiran parti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO mengulas ura-ura enam ahli Parlimen yang mengumumkan keluar parti itu bulan lalu akan menyertai semula UMNO.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan parti itu ada membincangkan perkara tersebut.

Enam Ahli Parlimen yang kini menjadi Ahli Parlimen Bebas meninggalkan UMNO pada 14 Disember lalu iaitu Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.

Tiga lagi ialah Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd. Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×