KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bercadang melantik satu badan bebas bagi mengkaji dan meningkatkan tahap persepsi rasa selamat dalam kalangan rakyat di negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, cadangan tersebut dilakukan selepas pihaknya mendapati persepsi rasa selamat masyarakat masih belum mencapai tahap yang memuaskan walaupun kadar indeks jenayah di seluruh negara menurun setiap tahun.
“Saya telah mengarahkan pihak penyelidikan dan pembangunan PDRM serta Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) untuk bekerjasama bagi mengenal pasti satu badan bebas yang bertanggungjawab mengkaji tahap persepsi rasa selamat rakyat negara ini.
“Kita akan menggunakan khidmat badan luar kerana tidak mahu wujud sebarang isu memanipulasi data dalam usaha mencari alternatif meningkatkan tahap keyakinan rakyat selain memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Semua Jabatan Peringkat Bukit Aman anjuran JPJKK di sini hari ini.
Perhimpunan terbabit menyaksikan Mohamad Fuzi menganugerahkan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) kepada 47 pegawai dan anggota PDRM sebagai menghargai semangat kepahlawanan, pengorbanan dan bakti mereka kepada negara.
Selain itu, Mohamad Fuzi turut menzahirkan ucapan tahniah kepada penerima Sijil Penghargaan atas prestasi cemerlang yang telah dipamerkan dalam penugasan masing-masing.
Penerima sijil berkenaan merupakan Koperal E. Sashi Kumar, Koperal Ahmad Rafee Razali dan Koperal Ashraf Khaiyum Maridzuan yang bertugas di Lebuh Raya Zon Utara, Cawangan Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) yang menjayakan mematahkan aktiviti penyeludupan 500 kilogram syabu menggunakan lori kontena di Hentian Taiping, Perak, Sabtu lalu. – K! ONLINE










