[VIDEO] Pelajar perubatan dituduh jadi bapa ayam mengaku tidak bersalah - Utusan Malaysia

[VIDEO] Pelajar perubatan dituduh jadi bapa ayam mengaku tidak bersalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 16 Jan. – Seorang pelajar perubatan tahun akhir di universiti tempatan di Terengganu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini atas kesalahan muncikari atau menjadi bapa ayam pada Ogos tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Luqman Zulkepli, 29, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Kamalruazmi Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan muncikari atau menjadi orang tengah terhadap perlakuan sumbang antara seorang perempuan dan lelaki.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara pukul 2.43 pagi hingga 6.05 petang antara 27 hingga 28 Ogos 2018 di sebuah hotel di bandar raya ini.

Pendakwaan mengikut Seksyen 28 Muncikari, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 itu dikendalikan oleh Pendakwa Syarie Terengganu, Mohd. Khasmizan Abdullah manakala tertuduh diwakili dua peguam, Fazru Anuar Yusof dan Mohd. Sofian Arifin.

Hakim Kamalruazmi kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 24 Februari ini.

Kes muncikari ini adalah yang pertama seumpamanya di Mahkamah Syariah di Malaysia.

Sebelum ini akhbar melaporkan, dua bapa ayam warga tempatan mengenakan caj antara RM250 hingga RM600 untuk menjual perkhidmatan tiga pelacur di bawahnya menggunakan aplikasi WeChat denfan menjadikan dua hotel ternama di bandar raya ini sebagai lokasi operasi.

Bagaimanapun, kesemua mereka ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dalam dua serbuan berasingan di dua hotel berkenaan pada Ogos tahun lalu. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×