KUALA SELANGOR 15 Jan. – Walaupun berada dalam keadaan koma akibat kemalangan sewaktu hendak ke sekolah, namun mulut si kecil itu tetap memanggil-manggil ayahnya yang sudah pulang ke pangkuan Ilahi akibat kemalangan itu yang turut meragut nyawa sepupunya.
Walaupun ‘panggilan’ itu memberi sinar harapan Muhammad Saifulbahari Mohd. Rozaini, 7, akan kembali pulih tetapi keadaan itu tetap meruntun hati ibunya, Asidah Osman, 44, menyebabkan air matanya tak henti mengalir.
Asidah yang kehilangan suaminya, Mohd. Rozaini Ismail, 47, nyata tidak kuat apabila terpaksa menerima kenyataan suaminya maut dalam kejadian yang berlaku ketika dalam perjalanan menuju ke sekolah di Assam Jawa di sini manakala anaknya pula terlantar koma sehingga terpaksa ditenang saudara maranya berulang kali.
“Bahari asyik panggil mak, ayah. Walaupun masih belum sedar lagi tapi mulutnya asyik panggil kami, mungkin meracau agaknya,” katanya sambil mengesat air matanya. Ekoran kemalangan itu, Muhammad Saifulbahari parah di kepala dan patah bahu kiri.
Asidah berkata, dia masih terkejut dan macam tak percaya sebab kemalangan itu berlaku tiba-tiba.
“Pagi tadi Bahari memang macam kelam kabut nak pergi sekolah sedangkan tak lambat pun. Saya pun terkilan sebab pagi tadi Bahari pun tak sempat nak salam…mereka berdua tu memang rapat macam kembar dan selalu bersama,” jelasnya.
Dalam kemalangan maut yang berlaku pukul 6.40 pagi ini, seorang lagi murid tahun satu, Muhammad Aryan Iman Abdullah, yang juga sepupu Muhammad Saifulbahari, turut terbunuh akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md. Asri A. Wahab berkata, pemandu lori yang melanggar mangsa telah menyerah diri di Ibu pejabat Polis Daerah ini.










