LIPIS 15 Jan. – Janji yang gagal ditunaikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjadi antara keluhan yang sering didengari Wanita UMNO dalam program Ziarah Sayang yang dilaksanakan sayap parti itu di sekitar kawasan Parlimen Cameron Highlands.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad berkata, melalui program itu mereka mendengar sendiri dari hati ke hati keluhan masyarakat akar umbi yang berasa semakin tertekan dan resah dengan pelbagai situasi yang berlaku pada masa ini.
“Kita melihat sekarang banyak yang dilakukan kerajaan tidak ditunaikan dan ini dirasai di

peringkat akar umbi. Itu yang banyak disuarakan pengundi-pengundi apabila kita berjumpa dengan mereka.
“Mereka mengeluh bagaimana janji tidak tunai, apabila berkempen (pemimpin PH) asyik hendak mengata orang lain, mungkin walaupun mereka (PH) menjadi kerajaan cara dan sikap mereka masih lagi dalam keadaan pembangkang,” katanya ketika ditemui pada program Ziarah Sayang di Felda Sungai Koyan di sini, hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Wanita UMNO Cawangan Felda Sungai Koyan, Normah Teh.
Dalam pada itu, Noraini berkata, meskipun dalam keadaan mencabar apabila Barisan Nasional (BN) menjadi pembangkang ia tidak melunturkan semangat Wanita UMNO untuk berkempen mendekati pengundi.
Katanya, apa yang diutamakan oleh sayap parti itu adalah kepentingan agama dan bangsa melebihi kepentingan individu dalam melaksanakan gerak kerja secara berterusan.
Sementara itu, beliau berkata, program Ziarah Sayang yang dilaksanakan Pergerakan Wanita UMNO sejak sekian lama amat signifikan dalam mendekati masyarakat akar umbi.
“Kita pergi dari rumah ke rumah sebab itu lebih ‘personal touch’ dan bila kita berjumpa boleh mendengar terus daripada pengundi apa yang dirasakan mereka serta harapan mereka,”ujarnya.










