TOKOH Wartawan Negara dan bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, Tan Sri Mazlan Nordin yang pernah menjadi wartawan bersama-sama dengan A. Samad Ismail di Singapura pernah menyifatkan beliau sebagai seorang ‘Jeneral’ Utusan Melayu dan menjadi ‘Jeneral’ Angkatan Sasterawan 1950 atau ASAS 50.
Pengakuan jujur Mazlan itu terpancar dalam bukunya, Tokoh dan Akhbar Melayu: Penebus Peminggiran Melayu (2009) terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menurut Mazlan Nordin, pekerja-pekerja Utusan Melayu di Singapura tanpa mengira jawatan daripada wartawan, pembaca pruf, pengatur huruf atau pekerja kilang percetakan, semuanya mengagumi kehebatan A.Samad Ismail sebagai seorang wartawan.
Rata-rata pekerja Utusan Melayu di Singapura menyifatkan, ketika Samad bertugas fikiran beliau lebih pantas dan lebih laju daripada menaip. Apabila beliau menaip, “macam lipas kudung” dan bunyi ketukan mesin taip kedengaran seperti bertih goreng.
Kehebatan A. Samad Ismail memang terbukti apabila Sasterawan Negara pertama, Keris Mas, antara wartawan era Cecil Street yang pernah mendapat bimbingan daripada A. Samad Ismail dalam bidang kewartawan.
Begitu juga Sasterawan Negara, Usman Awang turut mendapat asuhan A. Samad Ismail sebagai seorang wartawan. Malah, wartawan baru seperti Ali Salim (Jiro), Asni Ahmad Sanusi, Samad Idris, Khairuddin Kawi dan Azahari Taib turut mendapat bimbingan Samad Ismail.
Bekas Pengarang Utusan Melayu yang mengetuai Mogok Utusan 1961, Said Zahari tidak terkecuali pernah mendapat asuhan A. Samad Ismail ketika berkhidmat di Utusan Melayu Singapura.
Said menulis dua bab mengenai A. Samad Ismail dalam bukunya Meniti Lautan Gelora: Sebuah Memoir Politik (2001)dengan tajuk “Utusan Melayu dan Samad Ismail: Misteri Samad Dibuang Ke Jakarta” dan “Samad Ismail Guruku?”.
Membaca bab “Samad Ismail Guruku”, Said Zahari menulis: “Sebelum aku menyertai Utusan Melayu 1951, aku memang sudah mengagumi Samad Ismail. Prestijnya meningkat lebih-lebih lagi setelah dia ditangkap dan ditahan di Singapura oleh Inggeris bersama-sama beberapa aktivis politik anti penjajah yang lain termasuk Devan Nair, P.V. Sharma, John Eber, Abdullah Majid dan James Puthucheary” (Said Zahari 2001: 105).
Sebenarnya, gelaran ‘Jeneral’ Utusan Melayu yang diberikan oleh Mazlan Nordin itu memang tepat kerana wartawan Utusan Melayu ketika itu seperti Keris Mas, Usman Awang, Said Zahari, Melan Abdullah, Othman Wok, Samad Idris, Mazlan Nordin Khir Haji Taib dan Khairuddin Kawi, mengakui terpaksa melalui latihan keras dan kasar daripada A. Samad Ismail bagaikan antara seorang Jeneral dengan bala tenteranya.
A.Samad Ismail yang menulis rencana bertajuk “Sekadar Mengenang Suatu Zaman Yang Begitu Besar” yang disiarkan dalam keluaran khas Utusan Malaysia, 29 Mei 1980 menyatakan, tingkah lakunya yang keras dan kasar terbentuk ketika bekerja di Utusan yang diwarisi daripada mahagurunya, Abdul Rahim Kajai.
“Buat diri saya, umpamanya kegemaran saya mencarut bermula di Utusan, satu pusaka Kajai yang saya warisi hingga ke saat saya bekerja di Straits Times.
“Sikap saya berkasar pada orang bawahan yang mencuaikan kerjanya, saya belajar daripada Yusof Ishak. Demikian tentang disiplin dan etika kerja saya sehingga sekarang teman-teman mengatakan sebagai keangkuhan saya pun warisan Utusan juga” tulis A. Samad Ismail.
Sikap Yusof Ishak lagi ekstrem berbanding A. Samad Ismail. Bagi Yusof, sesiapa yang menentang Utusan adalah ‘pengkhianat bangsa belaka’.
“Latihan itu amat keras. Zaman itu Utusan terhutang budi kepada kepimpinan Yusof Ishak,” tulis A. Samad Ismail.
Setiap bulan gaji yang diterima tidak pernah cukup, bermula dari Yusof Ishak sehinggalah kepada pekerja bawahannya.
Menurut A. Samad Ismail, Ali Salim (Jiro) yang ketika itu masih sebagai pelatih menerima gaji S$144.00, Asni Ahmad Sanusi menerima gaji S$96.00, Samad Idris mendapat gaji RM171.00 sebagai pemberita Gred III dan Khairuddin Kawi juga dalam Gred III S$171.00.
“Saudara Azahari Taib sebagai pemberita Gred II gajinya agak lumayan S$241.00, Khir Haji Taib S$241.00, Mazlan Nordin menerima gaji S$256.00 sama seperti gaji Usman Awang sebagai ‘sub-editor’ Gred III. Gaji Dahari Ali S$376.00 sedangkan saya S$547.00 iaitu paling tinggi sekali di Jabatan pengarang,” tulis A. Samad Ismail yang ketika itu bertugas sebagai Penolong Pengarang Utusan Melayu.
A.Samad Ismail mengakui, wartawan yang berkhidmat dengan Utusan Melayu hidup secara sederhana belaka. Namun, segala penat jerih bekerja daripada pagi hingga lewat malam dengan gaji yang tidak seberapa, tanpa cuti, tanpa off day, memang biasa kepada setiap pekerja Utusan ketika itu.
“Pada mereka (pekerja), Utusan melambangkan segala yang luhur, mulia dan suci dari sebuah perjuangan bangsa,” tulis A. Samad Ismail.
A.Samad Ismail menyertai Utusan Melayu sebagai pemberita dan penterjemah semasa berusia 16 tahun di bawah bimbingan Abdul Rahim Kajai pada tahun 1941, tidak lama selepas Utusan dizahirkan dan diterbitkan di Queen Street Singapura.










