BANGKOK 15 Jan. – Beberapa agensi kerajaan melancarkan segala usaha untuk memerangi masalah jerebu yang semakin buruk sejak melanda ibu negara ini minggu lalu.
The Nation melaporkan, pihak berkuasa telah mencari penyelesaian dalam isu tersebut termasuk melakukan semburan air, menghasilkan hujan tiruan dan mengetatkan undang-undang terhadap pelepasan asap kenderaan.
Bagaimanapun, langkah-langkah tersebut dilihat masih gagal ‘menjernihkan’ ruang udara Bangkok daripada masalah jerebu.
Pensyarah perubatan di Universiti Chiang Mai, Rungsrit Kanjanavanit berkata, di sebalik kebimbangan terhadap pendedahan tahap kepekatan partikel halus yang bersaiz 2.5 mikron dan ke bawah (PM2.5) yang membawa kepada ancaman kesihatan, pihak kerajaan digesa menangani pencemaran udara di peringkat ‘akar umbi’.
Menurutnya, pihak berkuasa perlu memperbaiki strategi untuk melindungi orang ramai daripada pencemaran udara dan meningkatkan kesedaran terhadap ancaman berbahaya itu.
Hampir seminggu sejak tahap PM2.5 di Bangkok meningkat dengan ketara, udara di Bangkok hari ini kekal tercemar.
Mengikut indeks kualiti udara PM2.5 diukur oleh laman web pemantauan kualiti udara antarabangsa, bacaan setinggi 396 dicatatkan di daerah Bang Khen.
“Pihak berkuasa masih tidak menyedari bahaya sebenar pencemaran udara ini,” kata Rungsrit.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, setiap tahun terdapat lebih banyak kematian akibat pencemaran udara berbanding jumlah pesakit Aids dan malaria.
Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Sukhum Karnchanapimai berkata, kementerian telah menyelaraskan semua agensi berkaitan untuk memantau dan melindungi kesihatan penduduk daripada pencemaran udara dan telah menubuhkan pusat pemantauan penyakit pernafasan dan penyakit jantung di Bangkok.










