Tujuh beranak tinggal di pondok usang - Utusan Malaysia

Tujuh beranak tinggal di pondok usang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERANG 15 Jan. – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitu nasib dialami sebuah keluarga yang tinggal dalam sebuah pondok usang tanpa dinding di Batu 14, Kampung Pecah Gadong dekat Pokok Sena di sini.

Sungguh menyedihkan kerana pasangan suami isteri, Nur Shafizawati Shaari, 32, dan Mohd. Ridzwan Ismail, 38, terpaksa membesarkan lima anak dalam keadaan daif.

Bukan sahaja tidak berdin­ding, ‘rumah’ itu juga hanya berlantaikan kayu sehingga menyebabkan Nur Shafizawati terpaksa memasak diatas tanah selain atapnya diperbuat daripada plastik.

Nur Shafizawati berkata, mujurlah dua anaknya iaitu Nur Lailaezzla, 13, dan Nurin Elyana, 12, tinggal di Asrama Anak-Anak Yatim dan Miskin Kampung Perik dekat sini.

“Setidak-tidaknya ringanlah beban yang terpaksa saya tanggung. Di sini, saya tinggal bersama suami dan tiga lagi anak iaitu Nur Fahriayatul Anis, 10, Nur Emellda Citra, 6, dan Puteri Karissya Ammara yang baharu berusia 13 hari.

“Kadangkala Puteri Karissya Ammara dijaga ibu saya, Jamilah Abu, 60, di rumahnya yang tidak jauh dari sini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nur Shafizawati berkata, dia mengharapkan pendapatan suaminya yang bekerja kampung untuk menyara kehidupan mereka tujuh beranak.

Sementara itu, seorang ahli perniagaan dari Sungai Petani, Khairul Anuar Zainol tampil menghulurkan bantuan selepas terbaca kisah keluarga berkenaan dalam laman sosial.

“Kisah seperti ini perlu mendapat perhatian semua pihak. Saya sekadar tampil untuk me­nghulurkan bantuan makanan termasuk beras dan sedikit wang tunai untuk keperluan membeli susu anaknya yang berusia 13 hari itu.

“Saya harap ada pihak boleh menempatkan keluarga ini di tempat tinggal yang lebih selesa,” katanya.

Khairul Anuar berkata, sebe­lum ini ada pihak termasuk Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah ini menghulurkan bantuan makanan kepada keluarga ber­kenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×